Artikel

Menjelang 31 Ogos, Disasar Lebih 60% Penduduk Dewasa Lengkap Suntikan Vaksin COVID-19 – PM Muhyiddin

Bulan Ogos, adalah bulan yang cukup simbolik kepada penduduk di Malaysia, ia merupakan bulan kemerdekaan buat negara. Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos kelak, kerajaan kini menyasarkan lebih 60% penduduk dewasa akan menerima suntikan lengkap dos vaksinasi COVID-19.

Ini bermakna lebih 40% keseluruhan penduduk di negara akan melengkapkan proses vaksinasi mereka pada akhir Ogos kelak.

Kenyataan semalam (9 Ogos) Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dikongsikan pada taklimat Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).

Manakala pada akhir Oktober 2021 pula – negara dijangka akan memperlihatkan 100% penduduk dewasa telah lengkap menerima 2 dos suntikan, sasaran itu bermakna 80% penduduk di Malaysia akan lengkap menerima vaksin COVID-19.

Setakat ini, fasa vaksinasi negara mengikut ketetapan yang digariskan.

Menerusi kelangsungan ini, PM Muhyiddin menyatakan usaha tersebut berupaya membantu sektor ekonomi dan sosial negara kembali menjana pertumbuhan semula.

Berdasarkan data semasa, apabila kadar vaksinasi semakin meningkat ia akan mempengaruhi penurunan jumlah kes COVID-19 bagi kategori 4, 5 dan kadar kematian.