Artikel

Creador Labur AS$73 Juta Pada Sapphire Foods – Pengendali Syarikat Makanan Segera Di India, Sri Lanka Dan Maldives

Creador Sdn Bhd, iaitu sebuah firma ekuiti persendirian kini memaklumkan pelaburannya berjumlah RM308.4 juta (AS$73 juta) pada Sapphire Foods India Ltd. Usaha ini dilihat tindakan langkah perluasan pertama Creador dalam pasaran industri restoran makanan segera (QSR).

Pelan pelaburan ini merangkumi gabungan pelaburan secara langsung terhadap Sapphire Foods dan pembelian saham sekunder dalam syarikat tersebut.

Untuk makluman entiti ini mengendalikan sekitar 437 buah restoran makanan segera KFC, Pizza Hut dan Taco Bell di India, Sri Lanka serta Maldives. Ia merupakan antara pengendali Francais terbesar YUM! di benua kecil India.

Yum! sebelum ini dikenali sebagai Tricon Global Restaurant, ia adalah sebuah entiti makanan segera AS yang tersenarai pada Fortune 1000. Yum! mengendalikan jenama KFC, Pizza Hut, Taco Bell, The Habit Burger Grill dan WingStreet di seluruh dunia kecuali di China – di mana jenama tersebut dikendalikan oleh syarikat berasingan, Yum China.

Menerusi pelaburan ini, menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Creador Brahmal Vasudevan, QSR adalah segmen yang paling cepat berkembang di kalangan format rangkaian perkhidmatan makanan di India. Maka penyertaan pada pasaran ini meliputi permintaan dan perubahan tingkahlaku pengguna disebabkan pandemik COVID-19.

Industri QSR di India telah meningkat 19% selama beberapa tahun kebelakangan ini dan dijangka meningkat lebih 20% dalam tempoh 4 tahun, 2024.

Menerusi aturan Creador bersama Sapphire Foods ia akan meningkatkan lagi perluasan perkhidmatan kepada pengguna antarabangsa.