Semua pihak ketahui prestasi ekonomi negara tahun lalu memaparkan kemerosotan ketara dengan paras pertumbuhan -5.6%, ia adalah rekod terendah sejak tahun 1998 iaitu pada paras -7.8%.
Bagaimanapun, prestasi pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana nyata lebih rendah berbanding KDNK negara tahun lalu. Di mana ia mencatatkan penguncupan pertumbuhan sekitar -7.3%, pertama kali lebih rendah berbanding KDNK negara dalam tempoh 17 tahun – sejak 2003.
Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan 2020 – penyusutan itu didorong tempoh sekatan berterusan ke atas kegiatan ekonomi Malaysia. Di mana sektor perkhidmatan menyusut 9.2% pada 2020 berbanding 7.5% pada 2019. Sementara penurunan pada segmen dagangan borong dan runcit, makan dan minuman serta penginapan pula mencatatkan -7.8%.
Manakala segmen eksport PKS pula menyusut 33.1% kepada RM117.8 bilion berbanding 2019 yang mencatatkan peningkat 2.6%.
Meskipun ini adalah data tahun lalu, namun kesan penurunan tersebut masih dirasai ketika ini oleh pemain industri. Penutupan sementara operasi nayata akan memperlihatkan kerugian berterusan kepada warga PKS.
Namun pembukaan sektor ekonomi pada 10 Ogos, antara gambaran awal yang dimaklumkan kerajaan persekutuan untuk membantu perniagaan di negara. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyatakan pada sidang khas 8 Ogos, pendekatan kemudahan bagi sektor ekonomi akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.
Buat masa ini, operasi ekonomi berkaitan makanan sahaja dibenarkan kelonggaran makan di dalam kedai ataupun restoran, sementara operasi ekonomi yang lain masih menanti arahan semasa.