Pembukaan operasi sektor ekonomi yang terhad, nyata mengundang kepada peningkatan kadar pengangguran Malaysia di paras 4.8%, meningkat kepada 768,700 individu menganggur bagi Jun 2021.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini (9 Ogos) memperlihatkan segmen tenaga buruh negara kini berdepan dengan cabaran disebabkan tempoh sekatan dan peningkatan kes COVID-19. Ini membawa kepada sebahagian tenaga buruh telah beralih kepada kumpulan tidak aktif, dan menyebabkan bilangan tenaga buruh berkurangan.
Penurunan itu secara langsung memberi kesan kepada segmen penduduk berkerja di negara. Di mana ia telah menurun 0.5% kepada sekitar 15.30 juta individu bekerja di Malaysia. Angka ini meliputi penurunan operasi seluruh sektor ekonomi negara.
Sementara itu kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun pada bulan Jun telah memaparkan sedikit penurunan iaitu 0.9% kepada 12.7% berbanding bulan sebelumnya (Mei 2021: 13.6%). Namun, bilangan penganggur belia meningkat sebanyak 12,900 individu, merekodkan 340,900 individu berbanding bulan sebelumnya (Mei 2021: 328.1 ribu orang). Begitu juga, kadar pengangguran belia yang berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 mata peratus kepada 9.4 peratus pada bulan tersebut (Mei 2021: 9.2%).
Meskipun momentum tenaga buruh menunjukkan ketidaktentuan, DOSM menyasarkan pelan imuniti kelompok mampu mengekang ketirisan pasaran yang lebih besar dari berlaku. Selaras dengan pecutan Program Vaksinasi COVID-19 Nasional, ianya akan meningkatkan keyakinan isi rumah dan perniagaan bagi merangsang kegiatan ekonomi. Ini akan membantu kelonggaran beroperasi sektor ekonomi dapat diperluaskan, disamping meningkatkan daya ketahanan sistem kesihatan negara.