Arena teknologi dan startup di rantau Asia Tenggara memperlihatkan perkembangan positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, mengikut data tahunan, nilai menyeluruh pelbagai syarikat startup di rantau Asia Tenggara telah mencapai nilai $340 bilion pada 2020 lepas.
Menariknya, mengikut unjuran yang dilakukan Jungle Ventures, nilai berkenaan dijangka akan mencapai $1 trilion menjelang 2025 kelak. Ini sekaligus memperlihatkan peningkatan sehingga tiga kali ganda berbanding nilai semasa.
Perkara ini mungkin tidak mengejutkan ramai. Tahun ini sahaja kita sedia melihat Gojek dan Tokopedia bergabung, Grab mengumumkan hasrat penyenaraian di Amerika Syarikat, Bukalapak membuat kejutan pada peningkatan nilai syarikat, selain Carsome yang menjadi syarikat Malaysia pertama mencapai nilai melangkaui $1 bilion.
Untuk makluman, rantau Asia Tenggara mempunyai sekitar 400 juta pengguna internet, dan ramai yang memulakan akses internet mereka melalui peranti mudah-alih. Ini sekaligus memperlihatkan kesan positif terhadap perkembangan syarikat startup di Asia Tenggara.