Artikel

Petunjuk Peralihan Fasa PPN, Tidak Lagi Fokus Kepada Jumlah Kes Harian COVID-19 – Tengku Zafrul

Jika sebelum ini, antara 3 indikator utama yang digariskan kerajaan persekutuan adalah jumlah kes harian COVID-19 setiap negeri akan menjadi petunjuk kepada peralihan Fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Minggu lalu (5 Ogos), Menteri Penyelaras PPN merangkap Menteri Kewangan negara (MOF) – Tengku Zafrul memaklumkan peralihan Fasa PPN kini akan menggunakan nilai ambang kadar kemasukan ke hospital. Ia merangkumi bilangan kes serius baharu.

Sementara 2 lagi nilai ambang pula meliputi kadar vaksinasi dan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU).

Tindakan sedemikian susulan, setelah mencapai kadar vaksinasi 40% penduduk dewasa – bilangan kes baharu menjadi kurang relevan. Ini kerana sebahagian kes merangkumi kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, dalam kategori 1 dan 2.

Langkah yang perlu diutamakan ketika ini, adalah penilaian peralihan Fasa 3 PPN serta mendepani kes COVID-19 bagi kategori 3, 4 dan 5.

Untuk makluman, peralihan Fasa 2 ke Fasa 3 PPN hanya dapat dilakukan sekiranya kadar kemasukan hospital sebanyak 3 kes per 100,000 penduduk atau bersamaan 1,000 kes kemasukan harian bagi seluruh negara.

Sementara peralihan Fasa 3 ke Fasa 4 PPN pula perlu memenuhi kriteria nilai ambang kemasukan ke hospital 1.3 kes per 100,000 penduduk atau bersamaan 400 kes kemasukan harian seluruh negara.

Kriteria ini telah diteliti bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setakat ini hanya 3 negeri dan wilayah persekutuan yang telah beralih di bawah Fasa 3 PPN – iaitu;

  • Perlis
  • Sarawak
  • Labuan

Manakala Fasa 2 PPN adalah;

  • Perak
  • Pahang
  • Kelantan
  • Terengganu
  • Pulau Pinang
  • Sabah

Fasa 1 PPN pula;

  • Selangor
  • Kuala Lumpur
  • Johor
  • Negeri Sembilan