Artikel

Ini Nilai Ganjaran Atlet Dunia, Bagi Setiap Kemenangan Pingat Olimpik – Malaysia Antara Tertinggi

Akhir Julai lalu, negara menerima khabar gembira berikutan kemenangan skuad badminton beregu lelaki negara – dengan perolehan pingat Gangsa Olimpik Tokyo 2020 di Jepun.

Sudah pasti setiap kemenangan menghasilkan ganjaran yang menarik kepada atlet dunia – meskipun ia bukanlah ganjaran daripada pengajuran temasya IOC namun ia adalah ganjaran daripada sukan tempatan setiap negara, untuk Malaysia ia di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Untuk makluman berdasarkan data Jawantankuasa Olimpik Kebangsaan dari setiap negara, menunjukkan terdapat peruntukan bonus kepada setiap atlet yang berjaya memperolehi pingat di temasya Olimpik.

Malaysia pada data tersebut telah meletakkan peruntukan bonus bagi pingat Emas AS$236,000 (sekitar RM1 juta), pingat Perak AS$71,000 (sekitar RM300k) dan pingat Gangsa AS$24,000 (sekitar RM101.2k).

Ini adalah anggaran data peruntukan bonus yang dilampirkan negara untuk atlet tempatan. Lebih menarik, ganjaran istimewa turut dimaklumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini. Ganjaran khas tersebut diperkatakan dana berasingan dari SHAKAM, untuk atlet tempatan.

Namun, tidak hanya Malaysia yang memperuntukkan nilai bonus tertinggi tetapi beberapa negara lain turut sama melakukan tindakan sedemikian.

Antaranya seperti pemenang pingat Emas pertama Filipina, yang diperolehi oleh Hidilyn Diaz, atlet angkat berat – dikhabarkan menerima sekurang-kurangnya 33 juta peso Filipina (sekitar AS$600,000) dari pihak sukan negaranya. Malah turut dikhabarkan Hidilyn menerima tawaran dua unit rumah bersama ganjaran penerbangan seumur hidup.

Bagaimanapun, setiap peruntukan bonus itu tidak seimbang. Ia bergantung kepada kemampuan sesebuah negara dan angka kemenangan yang diperolehi atlet.

Bagi perbandingan, kita dapat lihat pemenang pingat Emas Amerika Syarikat (AS) perolehi lebih rendah AS$37,500 berbanding pemenang pingat Emas atlet Singapura dengan ganjaran AS$737,000 (sekitar lebih RM3 juta). Begitu juga perbandingan atlet tempatan yang perolehi ganjaran lebih tinggi berbanding pemenang Emas atlet Kanada atau Australia.

Menerusi lebihan peruntukan ini, ia merangkumi pelbagai sokongan dana dari sektor awam mahupun swasta. Tindakan sedemikian dilihat menjadi pemangkin kepada usaha keras atlet dalam memartabat imej sukan negara di persada antarabangsa.