Prestasi ekonomi negara pada tahun 2020 telah memaparkan penurunan 5.6% berbanding 4.4% untuk rekod tahun 2019. Ini bermakna pertumbuhan negara mengalami catatan negatif, kesan yang mendalam bagi seluruh negeri di Malaysia.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini (5 Ogos) menunjukkan terdapat 8 buah negeri lepasi paras pertumbuhan nasional (-5.6%) – itu bermakna negeri terlibat memaparkan pertumbuhan KDNK lebih baik.
- Wilayah Persekutuan Labuan (-0.5%)
- Kelantan (-1.1%)
- Kedah (-1.7%)
- Pulau Pinang (-2.1%)
- Perak (-2.3%)
- Negeri Sembilan (-3.6%)
- Johor (-4.6%)
- Selangor (-5.3%)
Sementara itu, bagi paras Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk setiap negeri pula – secara puratanya menurun antara -0.6% sehingga -1.9%. Manakala statistik perdagangan negara bagi 2020 menurun 3.6% kepada RM1.78 bilion berbanding RM1.84 bilion tempoh yang sama 2019.
Selain itu, walaupun kadar pengangguran meningkat pada paras 4.5% setakat 2020. Namun pasaran buruh Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) telah turun 0.3% kepada 68.4% dan kadar gaji upah bulanan pula memaparkan kejatuhan 9.0% dari RM3,224 kepada RM2,933.
Situasi ini didorong hasil sekatan, penutupan sementara serta kerugian yang dialami premis disebabkan ketidaktentuan kesihatan dan ekonomi.
Ini bermakna penawaran peluang pekerjaan meliputi pelbagai skop perlu dibangunkan Malaysia untuk merancakkan semula aliran penyertaan tenaga buruh.
Secara keseluruhannya, meskipun seluruh negeri di Malaysia mengalami risiko pertumbuhan – namun 6 negeri beserta Wilayah Persekutuan kekal tampil selaku penyumbang utama ekonomi, negara sekitar 72.1% kepada KDNK Malaysia. Ia terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah.