Artikel

MPOB Hasilkan Teknologi Pengurusan Sisa Kelapa Sawit – Pacu Pertumbuhan, Kekalkan Kelestarian Alam

Di samping menaiktarafkan ekosistem teknologi sawit, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menitikberatkan kelestarian persekitaran – menerusi penerapan teknologi pengurusan sisa kilang kelapa sawit.

Adanya kemudahan teknologi sedemikian, berupaya merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (POME) seperti sisa buangan cecair, kimia atau kumbahan sebelum ia dilepaskan pada persekitaran dengan menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit.

Akses teknologi dilihat tidak hanya membantu bahkan kos pengeluarannya juga lebih rendah dan tidak akan memberi kesan pada kos operasi kilang kelapa sawit.

Lebih menarik hasil rawatan tersebut turut boleh digunakan sebagai baja organik untuk tanaman sayur-sayuran. Penerapan teknologi ini mengekalkan konsep kelestarian dari aspek ekonomi, proses serta persekitaran.

Pada masa yang sistem pengaktifan karbonisasi turut disertakan pada teknologi – yang berperanan menghasilkan karbon teraktif bagi mengantikan sistem pembakaran secara konvensional.

Teknologi yang dihasilkan penyelidik MPOB ini, dikenali sebagai Karbon Teraktif Tempurung Kelapa Sawit bagi Rawatan Sisa Air dan ia diketuai Dr. Nahrul Hayawin Zainal.

Kewujudan teknologi ini mampu memacu pertumbuhan sawit negara di samping dapat mengekalkan kelestarian persekitaran serta menjimatkan kos pengeluaran, tenaga dan meningkatkan kualiti produk.