Artikel

CIMB Kini Tampil Penawaran Akaun Simpanan Islam Digital Pertama, OctoSavers

Pelbagai penawaran kemudahan digitalisasi membabitkan kewangan kini diperkenalkan perbankan negara. Antaranya adalah CIMB Bank bersama CIMB Islamic Bank mula melancarkan akaun simpanan Islam digital pertama kepada pengguna, iaitu Akaun Simpanan-i CIMB OctoSavers.

Menerusi OctoSavers, pengguna dapat memiliki akses pembukaan akaun dan proses menyertainya dapat dilakukan hanya melalui atas talian sahaja. Menerusi kemudahan ini, ia selari dengan penetapan norma baharu – menghindarkan pengguna dari kesesakan awam di premis cawangan fizikal.

Prosedur tersebut akan dibantu menerusi garis panduan e-KYC iaitu kenali pelanggan anda secara digital di bawah kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Penyertaan itu bagi pengguna baharu yang berusia 18 tahun ke atas kini boleh didapati pada aplikasi CIMB Apply, sementara pelanggan sedia ada yang memiliki simpanan pula boleh melakukan permohonan di laman portal CIMB Clicks.

Namun, OctoSavers pada masa ini tidak tersedia untuk pelanggan pembiayaan CIMB sedia ada yang tidak mempunyai simpanan atau akaun semasa.

Selain pengenalan akaun simpanan Islam digital ini – CIMB turut tampil dengan penampilan baharu OctoDebit Mastercard – di mana kad debit ini akan dihantar kepada pelanggan tanpa cawangan yang lebih mudah.