Artikel

Peranan Pengawalseliaan Dorong Pengukuhan Industri Mata Wang Kripto Negara – Luno

Kini, populariti bitcoin dan mata wang kripto secara umumnya terus memaparkan peningkatan. Ramai pihak telah mulai mengalihkan perhatian mereka kepada mata wang kripto – ini didasari kemampuannya selaku kaedah pembayaran yang selamat, pantas, alternatif selaku simpanan dan memiliki perlindungan terhadap inflasi.

Aaron Tang, Pengurus Negara Luno Malaysia pada perkongsian pendapatnya bersama Rnggt – melihat meskipun peningkatan tumpuan ini berlaku ia tidak menjamin pengukuhan industri mata wang kripto di pasaran. Ini bermakna keperluan kerjasama yang baik di antara pengawalseliaan setiap negara perlu dibina oleh pemain industri – bagi memastikan amalan pertumbuhan kripto kekal sihat dan teratur.

Bagi operasi industri kripto wang di Malaysia, Luno telah berkerjasama rapat dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam membantunya memahami industri mata wang kripto dengan lebih mendalam bagi memperkenalkan pengawalseliaan khusus untuk mata wang kripto.

Hasilnya, mata wang kripto kini boleh berada pada persekitaran pasaran dan Luno Malaysia selaku penyedia perkhidmatan kripto pertama di negara telah diiktiraf, memiliki kelulusan penuh SC.

Berdasarkan prestasi pihaknya berjaya menyimpan lebih daripada RM1 bilion aset digital bagi pihak pengguna, lebih 300,000 individu terlibat dan memproseskan lebih daripada RM4.2 bilion pada tahun 2021. Data ini sekaligus memaparkan aliran mata wang kripto yang positif pada pasaran tempatan.

Maka adanya penglibatan secara bersama dengan pengawalseliaan, ia dapat memperincikan pemahaman berhubung keperluan pasaran tanpa mengugat sebarang isu keselamatan atau penipuan.

Malah kerjasama ini turut membuka ruang, membina kerangka sistem kewangan yang lebih besar – di mana SC bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dapat membuka lembaran baru kepada pelabur, peniaga, dan individu untuk memaksimumkan faedah sistem mata wang kripto.

Setakat ini, terdapat tiga bursa aset digital yang diluluskan di Malaysia, lantas membuktikan kesediaan pengawal selia untuk menegakkan kerangka pengawalseliaan industri mata wang kripto di Malaysia.