Catcha Group sedia mempunyai sejumlah syarikat digital dibawah mereka, termasuk memfokuskan penerbitan digital. Selepas menjual penerbitan dibawah Rev Media kepada Media Prima, kini Catcha Group turut melihat kembali kepada arena penerbitan digital melalui Rev Asia.
Untuk makluman, sejarah disebalik penerbitan digital melibatkan Catcha boleh dilihat sejak beberapa tahun yang lepas.
Pada tahun 2013 yang lepas, Catcha Media dibawah Catcha Group telah bergabung syarikat dengan Says, sekaligus menubuhkan Rev Asia. Sejak daripada itu, ia telah dikembangkan dengan sejumlah penerbitan digital dibawah mereka, dan seterusnya menjual kepada Media Prima pada harga melangkaui RM100 juta.
Ketika dijual, hanya entiti Rev Media dijual, sementara entiti Rev Asia Berhad terus beroperasi. Kini, mungkin dalam mengelakkan kekeliruan, Rev Asia Berhad dilihat telah dijenamakan semula kepada Catcha Digital Berhad.
Sejak tahun lepas, sejumlah penerbitan digital telah diambil-alih oleh mereka, dan kini Catcha Digital mempunyai OhMedia, Nara Media, Goody Technologies, Moretify dan Ittify dibawah mereka. Malah, mereka turut mengambil-alih syarikat memfokuskan edagang, Favful baru-baru ini.
Catcha Digital juga dijangka akan terus melakukan pelaburan dan pengambil-alihan dalam bulan-bulan akan datang, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena digital ini.