Artikel

Agong Zahir Dukacita Terhadap Pembatalan Ordinan Darurat – Ia Masih Belum Diperkenan

Berhubung hal ehwal Ordinan Darurat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah kini menzahirkan rasa dukacitanya terhadap pembatalan Ordinan Darurat yang dimaklumkan pada 26 Julai lalu.

Berdasarkan kenyataan rasmi Istana Negara hari ini (29 Julai), semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang. Ia berpaksikan kepada Perkara 150(2b) bersama Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan – kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada kuasa Seri Paduka Baginda.

Maka pembatalan 6 Ordinan Darurat yang diperkatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin sebelum ini, masih tidak diperkenan oleh Baginda YDP Agong.

Makluman pembatalan itu dilihat tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Malah, YDP Agong turut menyatakan tindakan makluman adalah tergesa-gesa serta bercanggah dengan ketetapan aturan yang telah digariskan.