Artikel

Bank Dunia Umum Biayai Kos Dos Tambahan – Membolehkan Negara Miskin Tingkatkan Bekalan Vaksin

Bank Dunia kini telah tampil dengan pendekatan kaedah pembiayaan baharu terhadap perolehan dos suntikan vaksin COVID-19 untuk negara sedang membangun, dan pendapatan rendah.

Kemudahan menerusi COVAX ini akan memperlihatkan tanggungan pembiayaan dos vaksin akan diserap oleh dana Bank Dunia, sumbangan perbankan lain serta pemberian subsidi.

Usaha ini secara langsung, memberi akses kepada negara terlibat untuk memperolehi dos tambahan vaksin COVID-19.

Di bawah aturan pembiayaan ini – sekitar 430 juta dos tambahan dijangka mampu menampung proses vaksin sepenuhnya kepada 250 juta individu di dunia.

Berdasarkan laporan, agihan bekalan tersebut akan mula dilakukan antara akhir 2021 sehingga pertengahan tahun 2022. Ini melibatkan 92 buah negara yang ketika ini memperolehi dos vaksin, atas ihsan penderma global.

Seperti yang kita ketahui, ketidakseimbangan agihan vaksin terhadap negara berpendapatan rendah – jelas menunjukkan betapa rendahnya sifat tanggungjawab dari negara maju.

Melalui pengamatan Bank Dunia, negara pendapatan tinggi telah memberi 95.4 dos kepada setiap 100 penduduk mereka. Sementara 29 buah negara yang memiliki pendapatan paling rendah pula hanya mampu memberi 1.5 dos kepada setiap 100 penduduk mereka.

Sekiranya ia berterusan, jurang ini secara realitinya tidak akan membantu pemulihan dunia.