Artikel

Tatkala Toyota Menarik Siaran Iklan TV Tema Olimpik Di Jepun – Samsung Kekal Meneruskan Agenda Itu

Di kala Toyota memaklumkan untuk tidak melaksanakan tayangan iklan bertema Olimpik Tokyo pada siaran di Jepun, berbeza pula dengan jenama Samsung Electronics yang mengumumkan akan melakukan siaran pengiklanan tema Olimpik mereka seperti dijadualkan.

Keputusan syarikat teknologi milik Korea Selatan diumumkan setelah Toyota pada 20 Julai lalu memaklumkan tayang pengiklanan tema Olimpik mereka hanya diteruskan pada siaran negara lain, tidak di Jepun.

Malah Toyota turut memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Motor, Akio Toyoda bersama eksekutif lain dilaporkan tidak akan menghadiri upacara pembukaan temasya Olimpik Tokyo pada 23 Julai.Bagaimanapun, Toyota masih kekal selaku penaja utama meskipun melakukan tindakan sedemikian. Tindakan Toyota itu dilaporkan berlandaskan situasi semasa COVID-19 yang sedang dihadapi oleh rakyat negaranya.

Menurut wakil komunikasi korporat Samsung, tindakan siaran itu sejajar dengan sasaran pemasaran TV Samsung yang akan dilaksanakan di Jepun, Amerika Syarikat serta beberapa negara Eropah. Menerusi tayangan pengiklanan bertema Olimpik Tokyo ini, pihaknya telah melakukan tinjauan keberkesanan pemasaran.

Untuk makluman, Samsung adalah satu-satunya jenama Korea di antara 15 penaja Olimpik di seluruh dunia – 14 yang lain adalah Toyota dan Panasonic dari Jepun – ditambah Airbnb, Alibaba, Allianz, Atos, Bridgestone, Coca-Cola, Dow, General Electric, Intel, Omega, P&G dan Visa.

Penyertaan selaku ahli penajaan Temasya Olimpik memerlukan sumbangan lebih dari AS$3 bilion kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC). Samsung telah bermula sebagai penaja tempatan untuk Olimpik Seoul 1988, dan telah menjadi penaja utama sejak tahun 1998.

Berdasarkan data semasa, Samsung telah melanjutkan penajaannya selama 8 tahun dan akan terus berada di peringkat teratas penajaan hingga Sukan Los Angeles 2028 kelak.