Artikel

Lanjutan Sekatan – Akan Tingkatkan Risiko Sumber Pekerjaan 3.6 Juta Individu, Petugas Pelancongan

Sekiranya lanjutan sekatan ke atas beberapa segmen ekonomi pelancongan diteruskan – ini akan membawa risiko yang tinggi buat kadar pengangguran dan perolehan pertumbuhan negara.

MATFA – Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia kini melihat inisiatif pembukaan sektor perlancongan berkaitan, wajar dibuka di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Permintaan tersebut merangkumi industri yang mengendalikan tempat tarikan, taman tema, pawagam, pusat hiburan keluarga, spa. Jika hanya dapat beroperasi pada Oktober kelak – ia akan mengundang risiko kehilangan pekerjaan kepada 3.6 juta petugas sektor ini.

Untuk makluman – kerugian pendapatan pada 2020 bagi industri taman tema adalah sebanyak RM2.8 bilion. Malah sektor pelancongan pernah menyumbang sehingga 14.2% kepada KDNK negara pada 2018, menjadikan ia penyumbang ketiga.

Seharusnya pelan pemulihan negara mengutamakan pembukaan sektor ini.

Berdasarkan permintaan pembukaan, MATFA telah mencadangkan daya ukuran pandemik kepada pendekatan endemik dengan menggunakan kadar positif dan jumlah kes serius seperti kadar kemasukan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Namun jika pentadbiran masih ingin melanjutkan tempoh sekatan – seharusnya penyediaan pampasan mencukupi diagihkan kepada pemain industri untuk membiayai kos yang terpaksa ditanggung berikutan penutupan sementara.

Ini termasuklah pelepasan cukai perkhidmatan serta pembekuan pembaharuan lesen yang berkaitan pelancongan.

Adanya tindakan sedemikian akan meningkatkan kembali keyakinan pemain industri dan sekaligus membantu pertumbuhan syarikat menampung kerugian sekitar RM100 bilion bagi sektor pelancongan.