Artikel

Senarai Pemandu, Rakan Penghantar Kini Diperincikan Bagi Penerimaan Vaksin COVID-19 – MOT

Perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran sememangnya antara pihak yang berhadapan risiko tinggi COVID-19. Menyedari pendedahan tersebut, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) kini sedang memperincikan senarai nama para pemandu dan rakan penghantar untuk penerimaan vaksin kelak.

Semalam (20 Julai), Menteri MOT Wee Ka Siong telah melaksanakan sidang maya bersama pihak pengurusan Grab untuk perincian senarai lanjut – membabitkan 100,000 pemandu dan 50,000 rakan penghantar.

Menurutnya proses penjadualan pemberian vaksin bagi pemandu teksi, e-hailing dan penunggang p-hailing sudahpun bermula – di mana kumpulan pertama yang bakal menerima vaksin melibatkan 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing.

Berdasarkan sasaran, pihaknya menjangkakan pemain industri di bawah MOT akan memperolehi vaksinasi selewat-lewatnya pada penghujung Ogos kelak.

Tindakan ini berupaya untuk mencapai tahap imunisasi berkelompok seawal mungkin, tanpa menjejaskan sebarang permintaan pengguna untuk perkhidmatan ketika pandemik.