Artikel

Maybank Salur RM14 Juta Pada HKL, HTAR – Tingkatkan Kapasiti Dan Kemudahan Sistem Kesihatan Negara

Lonjakan kes harian COVID-19 sejak minggu lalu – nyata telah memberi tekanan yang tinggi kepada sistem kesihatan negara. Bagi memastikan operasi kesihatan terus berupaya – Maybank kini telah menyumbangkan sekitar RM14 juta kepada dua buah hospital awam negara.

Ia merangkumi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) di bawah Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital COVID-19 MERCY Malaysia.

Menurut Pengerusi Maybank – Zamzamzairani Mohd Isa inisiatif tersebut akan dilakukan dalam tempoh 20 minggu dan sumbangan akan dilakukan mulai akhir Julai ini.

Terdapat beberapa tumpuan sumbangan akan dilaksanakan iaitu penyediaan bekalan dan peralatan kesihatan, bahagian sumber manusia serta latihan teknikal dan sokongan dari aspek kesihatan mental.

Usaha ini dilihat turut meningkatkan kadar kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dari aspek penambahan 6 unit HTAR dan 10 unit di HKL untuk pesakit kategori 4 dan 5.

Maybank melalui kerjasama ini, melihat sokongan semua pihak mampu membantu sistem kesihatan negara kekal stabil. Adanya kemudahan kelengkapan berterusan, ia akan membantu Malaysia mendepani pandemik COVID-19 dengan lebih baik.