Artikel

Apa Itu Sidang Khas Parlimen?

Pada bulan Jun yang lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yasin telah bersetuju mengadakan sidang khas parlimen bermula pada 26 Julai 2021 di Dewan Rakyat selama lima hari dan Dewan Negara akan bersidang selama tiga hari bermula pada 3 Ogos 2021. 

Sidang khas ini diadakan selepas beberapa tekanan daripada ahli parlimen dan rakyat untuk melihat parlimen berperanan semula selepas ia digantung hampir lima bulan digantung akibat pelaksanaan proklamasi darurat pada 12 Januari 2021. Keputusan menggantung parlimen sepenuhnya telah memberi kesan kepada tadbir urus negara yang masih buntu melawan pandemik. 

Namun, ada yang masih lagi tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan sidang khas. Ada yang beranggapan ini adalah sidang biasa seperti sesi pembukaan parlimen pada setiap tahun dan perjalanan sidang berlaku seperti biasa. Apakah bezanya sidang khas dan sidang parlimen yang biasa? 

Apa yang dibincangkan Sidang Khas? 

Terdapat beberapa perbezaan antara sidang khas dan sidang pembukaan parlimen. Pertama, perbahasan Titah Diraja yang disampaikan oleh Yang Di-Pertuan Agong tidak berlaku dalam sidang khas. Lazimnya, sesi pembukaan parlimen dimulakan dengan ucapan Titah Diraja yang mengandungi fokus dasar-dasar kerajaan untuk sepanjang tahun dan kemudian dibahaskan ahli parlimen. 

Sidang khas parlimen dimulakan dengan membahaskan usul-usul kerajaan sahaja tanpa ucapan Titah Diraja. Dalam sidang khas akan datang, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi tiga perkara yang mereka ingin bahaskan iaitu Pelan Pemulihan Negara (PPN). pelaksanaan parlimen hibrid, dan membahaskan proklamasi darurat. 

Kedua, sesi pertanyaan jawab lisan dan bertulis tidak berlaku dalam sidang khas parlimen. Perkara ini berbeza dengan sidang biasa apabila Menteri perlu menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh ahli parlimen terlebih dahulu sebelum meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU). 

Ia bermaksud, sidang khas parlimen sekadar membahaskan agenda kerajaan dan segala pertanyaan berbangkit boleh dikemukakan ketika perbahasan sahaja. Limitasi masa dan ruang sidang khas ini boleh menjadi punca parlimen tidak boleh membincangkan sesuatu dasar kerajaan dengan lebih terperinci.  

Persamaan sidang khas dan biasa adalah setiap usul yang dibawa kerajaan perlu mengalami proses undian daripada ahli parlimen.  

Kali terakhir sidang khas parlimen diadakan adalah pada 26 dan 27 Januari 2016 ketika Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Sri Mustapa Mohamed membawa usul bagi membahaskan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Sidang khas selama dua hari ini dilakukan sebelum pembukaan parlimen pada 7 Mac 2016.  

Sebenarnya, ratifikasi (pengesahan) perjanjian TPPA tidak perlu mendapat kelulusan parlimen kerana ia hanya memerlukan persetujuan badan eksekutif. Namun, akibat kritikan dan desakan beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan TPPA, kerajaan cuba membahaskan perkara ini bersama ahli parlimen. 

Ia memperlihatkan keterbukaan kerajaan Barisan Nasional (BN) membincangkan TPPA. Cuma, apa yang berlaku dalam sidang khas tersebut tidak memberi kesan kepada penambahbaikkan dasar. Pertama, ahli parlimen terpaksa meneliti dan membahaskan 16 jilid dokumen perjanjian TPPA (beratus muka surat) daripada kerajaan  dalam masa dua hari.  Kedua, sesi perbahasan kepada ahli parlimen agak terhad dan ia menjejaskan ahli parlimen memberi idea konstruktif dalam mengkaji keputusan menandatangani TPPA. 

Malangnya, satu cadangan daripada ahli parlimen tidak diambil serius oleh kerajaan waktu itu kerana jumlah majoriti BN di dalam Dewan Rakyat lebih banyak berbanding pembangkang. Usul ini kemudiannya lulus dengan 127 orang ahli parlimen bersetuju dan 84 orang ahli parlimen tidak bersetuju. 

Sidang khas parlimen pada 26 Julai nanti dijangka akan mengikuti format perjalanan yang sama seperti sidang khas TPPA pada tahun 2016. Persoalannya, sejauh manakah sidang khas pada 26 Julai ini benar-benar memberi ruang untuk membahaskan isu rakyat dan negara yang kian membimbangkan akibat krisis pandemik? 

Apa yang lebih baik?

Sepatutnya, parlimen perlu bersidang penuh untuk memastikan ahli parlimen mempunyai ruang secukupnya mengkaji dan membahaskan dasar kesihatan negara dan proklamasi darurat yang terlalu teknikal. Persidangan penuh parlimen membolehkan dasar ekonomi seperti pakej rangsangan ekonomi, khasnya Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dibahas dan diteliti lebih awal oleh ahli parlimen bagi mengatasi cabaran krisis pandemik akan datang.  

Ada beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan bagi menambah baik sidang khas parlimen nanti. Pertama, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu terbuka dan memberi ruang secukupnya kepada ahli parlimen dalam membahaskan usul kerajaan. Peruntukan masa persidangan khas tidak seharusnya dipendekkan dan perlu mengambil kira usul pindaan yang mahu dibawa pembangkang.

Kedua, kerajaan dan pembangkang perlu menjalankan kerjasama dwipartisan dalam menggubal sebuah dasar yang menyeluruh bagi memerangi Covid-19. Ini bukan bermaksud pembangkang perlu mengikut telunjuk ‘kerajaan’ semata-mata, tetapi kerajaan perlu berlapang dada dan mengambil cadangan yang baik daripada pembangkang untuk dijadikan dasar kerajaan dalam usaha membina negara dan membantu rakyat.  

Kerjasama dwipartisan dengan pembangkang dalam menggubal dasar  ini juga adalah jalan terbaik buat kerajaan PN untuk menstabilkan kedudukan mereka di parlimen yang kini masih bergolak akibat politik dalaman yang tidak berkesudahan.  Jika tidak dilakukan, maka keabsahan kerajaan PN akan diuji dan mungkin tumbang jika tewas dalam proses undian nanti. 

Walau apa pun, sidang khas ini perlu memberi mesej yang jelas bahawa ‘parlimen bekerja’ sehabis baik untuk membantu rakyat yang kini terbeban akibat pandemik. Parlimen adalah institusi yang paling tepat dan penting untuk menyatukan jiwa dan harapan rakyat Malaysia yang mahu kembali menjalani hidup seperti normal dan membina kocek wang mereka yang musnah akibat Covid-19. 


Fakhrurrazi Rashid, Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA). Ini adalah tinta beliau berkenaan mesyuarat sidang khas Parlimen pada 26 Julai kelak. Ini adalah pendapat peribadi beliau, tidak mewakili pandangan editorial Rnggt.