IKEA pengeluar perabot kediaman dunia milik Sweden kini berdepan dengan dakwaan perolehan kayu yang tidak sah, mengikut perundangan alam sekitar dan perhutanan Rusia.
Berdasarkan pemantauan Earthsight, sebuah badan-bukan-kerajaan (NGO) alam sekitar Rusia, dakwaan tersebut merangkumi pembekalan bahan kayu IKEA dari syarikat yang melaksanakan pembalakan secara haram di Hutan Siberia, Rusia. Melibatkan sekitar penebangan 4 juta pokok di hutan tersebut.
Tuduhan itu merujuk kepada pembekal IKEA Exportles yang berpusat di Siberia dan dikendalikan oleh ahli politik wilayah Irkutsk, iaitu Yevgeny Bakurov.
Melalui tinjauan, bekalan kayu itu digunakan untuk penghasilan pelbagai perabot kanak-kanak – yang dipasarkan di cawangan IKEA di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Tinjauan Earthsight turut dapati syarikat Bakurov mengendalikan 13 pajakan hutan dengan kawasan gabungan lebih dari 220,000 hektar, luas ini lebih besar daripada London. Malah sebahagian (51%) kawasan ini – atau kira-kira 112,000 hektar – terletak di hutan simpan yang merangkumi garis pantai, sungai dan sumber air minuman.
Namun melalui maklum balas, IKEA telah menafikan kesalahan tersebut dan kini tidak lagi memiliki sebarang usahasama dengan Bakurov.
Laporan The Moscow Times menyatakan IKEA menegaskan setiap pembekalan kayu yang diperolehi mereka adalah berlandaskan pengesahan oleh pihak berkuasa perhutanan Rusia dan mengikut prosedur yang sah.
Untuk makluman, negara Rusia adalah penyumbang sumber kayu kedua terbesar kepada IKEA. Anggaran menunjukkan sekitar 1 juta pokok di Rusia, digunakan untuk menghasilkan perabot IKEA setiap tahun.