Artikel

Keperluan Dos Ketiga Akan Menjejaskan Agihan Vaksin Kepada Negara Berpendapatan Rendah

Kala dunia mulai bercerita tentang keperluan dos ketiga suntikan vaksin COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melihat dari sudut yang berbeza berkenaan isu ini.

Menurut Ketua Saintis WHO Soumya Swaminathan – tindakan untuk meningkatkan kadar dos atau menyesuaikan campuran dos ini mampu mencetuskan ketidaktentuan, ini kerana belum ada data kukuh yang menyokong keperluan untuk dos ketiga.

Malah saranan campuran dos vaksin juga setakat ini memiliki data yang terhad dan kajian menyeluruh masih sedang dilaksanakan. Pertimbangan tambahan dos ini perlu diteliti semula oleh setiap negara.

Seperti yang diketahui, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus sebelum ini telah lantang menyuarakan ketidakseimbangan yang berlaku pada agihan vaksin terhadap negara berpendapatan rendah.

Kini, Tedros turut memberi teguran kepada pengeluar vaksin untuk tidak memberi tumpuan menjual vaksin tambahan kepada negara maju. Tindakan itu dilihat tidak adil buat negara berpendapatan rendah yang masih memiliki kekangan bekalan vaksin.

Seharusnya keseimbangan bekalan didahulukan untuk semua negara di dunia.