Artikel

Beli Sekarang, Melancong Kemudian – Inisiatif Melaka Dan Lazada Tingkatkan Pertumbuhan

Sektor pelancongan dunia telah mengalami kesan yang tinggi, apatah lagi sektor pelancongan di Malaysia, terutamanya di kawasan yang berpaksikan ekonomi-pelancongan.

Meskipun berdepan dengan kesukaran krisis, ia tidak menidakkan daya kreatif sektor pelancongan di Malaysia untuk terus berkarya. Kini mulai 7 Julai lalu – negeri Melaka bersama platform e-dagang Lazada menyahut sokongan bersama untuk tingkatkan semula pertumbuhan pelancongan mereka, menerusi Melaka E-Bazaar.

Melalui kempen Beli Sekarang, Melancong Kemudian ini adalah bersempena meraikan Melaka, selaku Bandar Warisan Dunia UNESCO.

Kempen selama tiga bulan ini bertujuan meningkatkan semula aktiviti ekonomi untuk lebih dari 1,000 perniagaan Melaka yang telah terjejas disebabkan wabak COVID-19. Orang awam boleh melakukan pembelian tiket pakej pelancongan, pakej hotel dan rumah tumpangan, pelbagai produk tempatan Melaka yang tersedia secara atas talian – dengan tempoh sah sekitar satu tahun.

Malah sebarang tempahan untuk percutian dan penginapan boleh dilakukan setelah sekatan perjalanan negara ditamatkan.

Lebih menarik pelbagai ganjaran dan diskaun khas tersedia untuk para pengguna bagi sebarang pembelian di platform. Selain itu, para peniaga Melaka juga turut dapat nikmati insentif yang sama di bawah platform Lazada bagi penyertaan jualan ini.

Untuk makluman kerjasama ini merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia untuk meningkatkan sinergi dan kerjasama antara pelaku industri pelancongan dan budaya ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan pilihan.