Artikel

55% Responden Malaysia, Bersetuju Untuk Kekal Setia Bersama Majikan Mereka – Tinjauan

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan berlakunya peningkatan kadar pengangguran, pemotongan pendapatan dan memaksa segelintir individu melakukan kerja tambahan untuk menampung keperluan hidup mereka. Menyedari betapa sukarnya situasi ketika ini – lebih 55% rakyat Malaysia merancang untuk terus berkerja di bawah majikan bagi tempoh masa yang panjang.

Peratusan itu diperlihatkan pada tinjauan agensi penyelesaian HR- sumber manusia Ranstad – Pemantauan Tugasan Bagi Separuh Pertama 2021. Untuk makluman, tinjauan ini dilakukan ke atas 34 pasaran di seluruh dunia dengan minimum penglibatan responden bagi setiap pasaran adalah 400 responden.

Berdasarkan dapatan, perancangan kekal di bawah majikan yang sama itu menunjukkan Malaysia mendahului, diikuti Singapura 37%, Hong Kong 34%, sementara China 33%.

Namun aspek yang lebih penting telah mendorong kesetiaan tersebut iaitu keprihatinan para majikan.

Pengekalan ini didorong tindakan majikan yang telah melaksanakan beberapa langkah keselamatan dan kebajikan terhadap pekerja mereka. Antara 5 inisiatif teratas yang digarapkan bagi pekerja di Malaysia adalah;

  • Menetapkan protokol dan konsep berkerja jarak jauh (65%)
  • Mewujudkan dasar bagi membolehkan pekerja kekalkan keseimbangan output tugasan-kehidupan yang sihat (43%)
  • Melaksanakan pemantauan berkala ke atas kesejahteraan pekerja dan pendapat mereka berhubung syarikat (32%)
  • Menawarkan lebih banyak latihan berkenaan penerapan teknologi (26%)
  • Menyokong penglibatan pekerja dalam program yang meningkatkan kemahiran dan nilai pekerja bagi pasaran semasa (20%)

Melihat penerapan yang sedang dilakukan ini – ia mampu menghasilkan ekosistem yang baik buat pasaran pekerjaan di Malaysia. Langkah baik ini secara tidak langsung akan membantu pertumbuhan negara mengalami kesan yang positif sekiranya penerapan itu terus dikekalkan.

Bagaimanapun, Ranstad melihat meskipun terdapat 43% majikan yang mewujudkan dasar keseimbangan antara tugasan dan rutin kehidupan sihat, namun masih terdapat 39% responden mengharapkan lebih banyak insentif kebajikan diterapkan, khususnya tekanan ketika pandemik COVID-19 ini.