Artikel

Kadar Gaji Dan Upah Bulanan Pekerja Di Malaysia Kini Menyusut – DOSM

Kadar purata gaji dan upah bulanan di Malaysia kini semakin merosot pada tahun lalu, 2020.

Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dapati, penurunan ini didorong atas faktor krisis kesihatan – pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi disebabkan lanjutan sekatan. Di mana rata-rata sektor ekonomi memilih kaedah pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji terhadap kakitangan mereka.

Malah dapatan juga dapati, sebahagian besar pekerja di Malaysia telah dikategorikan sebagai separa-mahir. Ini menjadikan kesukaran buat individu meneruskan pekerjaan mereka menerusi konsep bekerja dari rumah (BDR) atau melalui digital.

Data menunjukkan penengah gaji dan upah bulanan mencatatkan penurunan dua angka sebanyak 15.6 peratus daripada RM2,442 kepada RM2,062. Begitu juga purata gaji dan upah bulanan turut menunjukkan penurunan daripada RM 3,224 kepada RM 2,933 (-9.0%) dalam tempoh yang sama.

Meskipun berlaku kemerosotan – namun tinjauan ini melihat angka penengah gaji bulanan lelaki konsisten lebih tinggi berbanding perempuan. Pada 2020, gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja lelaki adalah RM2,093, jatuh 15.5 peratus berbanding RM2,477 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, nilai penengah bagi pekerja perempuan turun 14.8 peratus kepada RM2,019 (2019: RM2,370).

Purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki juga pada tahun 2020 jatuh sebanyak RM341 atau negatif 10.3 peratus kepada RM2,963 manakala bagi pekerja perempuan pula jatuh RM219 atau negatif 7.0 peratus kepada RM2,889 berbanding tahun sebelumnya.

Begitu juga, purata gaji & upah bulanan bagi bandar dan luar bandar juga merosot pada 2020. Kadar purata bulanan bagi pekerja di bandar menurun sebanyak 9.3 peratus kepada RM3,089 (2019: RM3,405; 4.0%) manakala luar bandar menurun sebanyak 5.5 peratus kepada RM2,086 berbanding tahun sebelumnya (2019: RM2,208; 6.0%).