Pembukaan sektor pembuatan ketika ini nyata menimbulkan pelbagai pandangan dari semua pihak, terutama ketika angka penularan kes semakin meningkat melebihi 11,000 kes positif (data setakat 13 Julai).
Ini mewujudkan keresahan orang awam – akan penularan semasa yang semakin tinggi dan memohon penutupan premis seperti kilang dilaksanakan segera.
Bagaimanapun Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) melihat tindakan penutupan kilang, bukanlah suatu penyelesaian kepada isu tersebut. Bahkan ia akan meningkatkan kerugian terhadap ekonomi Malaysia.
Menurut Presiden FMM – Tan Sri Soh Tian Lai, saranan penutupan sektor pembuatan membabitkan kilang ini, turut akan menjejaskan pekerjaan tenaga buruh.
Berdasarkan data kluster yang diteliti, kes baharu yang membabitkan kluster pembuatan bagi data 1 Jun sehingga 12 Julai adalah rendah, antara 0.3% sehingga 8.3%.
Meskipun pihak FMM mengakui – risiko penularan dalam kalangan petugas sentiasa ada, namun meletakkan kesalahan pematuhan SOP secara menyeluruh terhadap premis kilang di Malaysia adalah tidak adil.
Ini kerana, penularan masih boleh berlaku apabila jangkitan dari luar premis merebak ke kilang mahupun asrama. Situasi ini turut dialami oleh sektor ekonomi lain. Pihak sektor pembuatan sentiasa berusaha melaksanakan langkah percegahan yang tinggi apabila terdapat pengesanan kes baharu. Maka pertimbangan penutupan menyeluruh tidak wajar dilakukan.
Untuk makluman – sektor pembuatan telah memaparkan kesan yang positif pada suku keempat 2020.
Secara menyeluruh ia menyumbang 23% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Malah sumbangan 86% daripada jumlah eksport juga menunjukkan daya operasi sektor tersebut perlu diteruskan, bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan dan permintaan.