Artikel

Industri Automotif Negara Terjejas – Kini Berdepan Risiko Pemberhentian Pekerja

Pelaksanaan sekatan negara sejak 1 Jun lalu, telah memberi tekanan yang tinggi kepada sektor pengeluaran – khususnya industri automotif negara.

Tambahan pula, penerapan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 3 Julai lalu telah meningkatkan lagi kesannya pada penutupan operasi secara menyeluruh. Melihat situasi itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan tindakan lanjut pemberhentian pekerja mungkin harus dilaksanakan kelak.

Menurut Presiden MAA – Datuk Aishah Ahmad, penamatan operasi automotif telah memberi kesan kepada keuntungan, pasaran eksport serta penutupan perniagaan.

Meskipun terdapat beberapa sektor ekonomi lain dibenarkan buka, namun tidak bagi bahagian pengeluaran dan pengedaran automotif.

Penutupan kilang, bengkel serta pusat pengedaran akan memberi risiko bebanan tinggi pada industri automotif.

Lebih membimbangkan ketika ini – beberapa bahagian tenaga kerja telah berdepan dengan pemotongan gaji serta pendapatan terjejas. Seterusnya langkah pemberhentian pekerja juga terpaksa akan dilakukan kelak, sekiranya lanjutan sekatan berterusan.

Seharusnya pendekatan yang lebih terperinci dilaksanakan terhadap negeri penyumbang utama ekonomi negara seperti Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Langkah sedemikian akan membantu pemain industri kekal seimbang. Untuk makluman, Selangor dan Kuala Lumpur telah menyumbang hampir 50% kepada TIV – jumlah keseluruhan unit industri.

Kelumpuhan operasi di dua kawasan ini – memberi kesan yang mendalam kepada automotif.