Artikel

Malaysia Tidak Hanya Kekurangan Psikiatri – Turut Alami Penurunan Dana Kesihatan Mental

Ketidaktentuan krisis ketika ini nyata mengundang tekanan kepada orang awam – khususnya berkaitan kesihatan mental. Berdasarkan data, tahun lalu Malaysia telah mencatatkan jumlah kes bunuh diri di paras 631 dan untuk 3 bulan pertama 2021 – negara mencatatkan jumlah 366 kes bunuh diri.

Ini lebih tinggi berbanding 2019.

Menyedari situasi itu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesyorkan nisbah pakar psikiatri kepada pesakit adalah dalam lingkungan seorang pakar psikiatri kepada 10,000 pesakit (1:10,000).

Namun begitu, ternyata tenaga pakar psikiatri negara dilihat tidak memenuhi usul nisbah tersebut. Apabila sekadar di paras nisbah 0.1:10,000.

Untuk makluman, berdasarkan perkongsian Menteri Kesihatan Malaysia Adham Baba sebelum ini – negara hanya memiliki 410 pakar psikiatri sahaja. Di mana, sekitar 268 psikiatri yang berdaftar bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selebihnya di bawah sektor universiti dan swasta.

Melihat ketidakseimbangan ini, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya sekitar 3,100 psikiatri di negara – bagi menampung populasi lebih 32 juta rakyat Malaysia.

Isu Kesihatan Mental Bukan Isu Baharu

Meskipun isu kesihatan mental ini bukanlah isu yang baharu di Malaysia namun tahap kesedarannya masih rendah.

Tahukah pembaca – berdasarkan tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2019, hampir setengah juta rakyat negara mengalami gejala kemurungan. Malah lebih meresahkan – dapatan dapati sekitar 424,000 kanak-kanak telah terlibat dengan masalah kesihatan mental.

Ya, itu adalah data tinjauan 2019. Dijangka angka ini berterusan meningkat pada tahun ini – susulan didorong tekanan kehilangan pekerjaan, pendapatan terjejas, alami masalah pembelajaran, masalah sosial dan masalah persekitaran.

Bagaimanapun, untuk mengatasi keperluan ini dana peruntukan sokongan dan tenaga kerja perlu diseimbangkan.

Dana Kesihatan Mental Negara Alami Penurunan 65%

Tidak hanya kekurangan kesedaran berhubung kesan kesihatan mental namun kadar kesedarannya pada peruntukan negara turut rendah.

Pada Belanjawan 2021 – peruntukan untuk kesihatan mental negara telah mengalami penurunan 65% dari RM69 juta pada tahun 2020 kepada RM24 juta bagi tahun 2021.

Peruntukan ini jauh lebih rendah berbanding tahun 2010 – yang menawarkan peruntukan sekitar RM45 juta. Ini sesuatu yang aneh untuk tempoh 11 tahun.

Seharusnya dana peruntukan kesihatan mental negara dipertingkatkan dan disesuaikan mengikut situasi semasa. Tindakan tidak hanya membantu petugas menangani kenaikan gejala kemurungan namun turut membantu ekosistem kesihatan mental dipertingkatkan.

Walau penurunan dana diperlihatkan – namun KKM telah menyalurkan peruntukan tambahan kepada badan NGO (bukan kerajaan) dibawah PEMULIH dengan tambahan RM15 juta untuk memberikan latihan kepada orang awam, berhubung kesedaran kesihatan mental.

Malah, lanjutan perkhidmatan 200 pegawai psikologi akan dilaksanakan sehingga tahun 2022 – langkah ini membantu petugas barisan hadapan mendepani dan memberi sokongan moral kepada orang awam.

Setakat ini, untuk sebarang rujukan rawatan di Malaysia – terdapat 62 hospital di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan kesihatan mental, termasuk empat institusi mental serta 25 Pusat Kesihatan Mental Komuniti (Mentari) disediakan.