Artikel

Ekonomi Malaysia, Indonesia – Dijangka Terus Terjejas Sepanjang Suku Ketiga 2021

Walaupun terdapat jangkaan bahawa pertumbuhan ekonomi negara akan menjadi lebih baik pada tahun ini, 2021 berbanding 2020 – namun ketidaktentuan krisis kesihatan terus menghimpit pemulihan pertumbuhan Malaysia pada suku ketiga ini.

Pengamatan syarikat penarafan kredit antarabangsa, Moody’s kini melihat cabaran itu tidak hanya menduga Malaysia, bahkan beberapa negara Asia Pasifik turut mengalami kesan yang sama.

Antaranya adalah Indonesia dan Vietnam. Negara Indonesia turut akan mengalami penurunan semakan pertumbuhan KDNK sekitar 3.8% sehingga 4.5%. Permasalahan ini meliputi ketidakseimbangan agihan eksport dan imbangan domestik negara itu. Malah ia turut berdepan dengan langkah sekatan yang memberi kesan langsung kepada operasi sektor ekonomi, sosial.

Situasi yang sama sedang dihadapi Malaysia dan Vietnam

Sementara itu, negara lain yang turut menghadapi kesan pertumbuhan adalah Australia dan Jepun – apabila Sydney kini melanjutkan sekatan pergerakan susulan penularan varian Delta. Manakala negara Jepun pula kini mengisytiharkan darurat, berikutan penularan jangkitan semakin tinggi dan acara Olimpik Tokyo kekal diteruskan tanpa sebarang penonton. Situasi ini memberi tekanan kos peruntukan yang tinggi buat Jepun.

Melihat pada keadaan ini, Moody’s berpendapat momentum ini akan berterusan sehingga separuh kedua 2021. Cabaran ketika ini adalah negara ekonomi asia pasifik perlu menyelaraskan antara pemulihan pertumbuhan dengan langkah kesihatan yang tepat, tanpa memberi tekanan kepada permintaan domestik sesebuah negara.