Sejak daripada PKP tahun lepas, kita sedia melihat permintaan untuk kopi meningkat. Kebiasaan yang sering dinikmati di kafe, berubah apabila ramai yang mula bereksperimen dengan kopi di rumah sendiri.
Permintaan yang terus meningkat pada tahun ini, nampaknya kini menghadapi beberapa kekangan tersendiri.
Di Brazil, negara pengeluar terbesar kopi dunia dengan biji “Arabica”, kini menghadapi masalah pengeluaran disebabkan oleh kemarau yang paling teruk pada abad ini. Selain itu, beberapa faktor lain turut dijangka memainkan peranan, membuatkan hasil daripada negara pengeluar kopi terbesar berkenaan terjejas.
Disamping itu, Vietnam dan Kolombia yang turut mengeluarkan kopi menghadapi masalah tersendiri disebabkan oleh kelewatan di bahagian pelabuhan – membuatkan biji kopi tidak dieksport keluar.
Mengikut jangkaan awal, pengguna dijangka akan menghasilkan permintaan sebanyak 165 juta guni kopi untuk tahun 2021 ini, yang mana 1.8 juta lebih tinggi berbanding 2021 lepas. Namun, jangkaan awal untuk pengeluaran dijangka hanya sekitar 164.8 juta guni sahaja.
Perkara ini dijangka mungkin membawa kepada peningkatan harga kopi. Atau pun, mungkin juga ia membawa kepada alternatif lain, dimana mungkin kita akan melihat populariti koko dan teh turut menerima perhatian pengguna seluruh dunia.