Artikel

Terokai Platform E-Dagang, Sekitar 60,000 PMKS Bakal Terima Manfaat Sehingga RM3,000 – Shopee

Shopee platform e-dagang negara kini tampil dengan inisiatif program Go-eCommerce, menawarkan manfaat sehingga RM3,000 kepada sekitar 60,000 warga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Tindakan itu bertujuan mendorong penerokaan warga PKS tempatan bersama usahawan mikro dalam segmen e-dagang negara.

Berdasarkan perkongsian terdapat 2 pakej yang bakal ditawar kepada para penjual, iaitu Penjual Shopee Sedia Ada yang telah berdaftar sebelum 1 Julai 2021 akan menerima baucar pulangan tunai syiling bernilai RM2,500 untuk kedai di Shopee dan rebat yuran perkhidmatan bernilai sehingga RM500.

Sementara Penjual Shopee Baharu yang telah berdaftar sejak 1 Julai 2021 pula akan menerima baucar pulangan tunai syiling Shope bernilai RM1,500 untuk kedai dan rebat yuran perkhidmatan bernilai sehingga RM1,500.

Menerusi manfaat itu, Shopee menjangkakan pertumbuhan jualan dapat dipacu dan sekaligus dapat merancakkan aliran tunai jualan para peniaga.

Oleh itu, bagi peniaga yang berminat serta memenuhi kriteria – boleh mula memohon mulai sekarang hingga 30 November 2021 di pautan shopee.com.my/goecommerce. Penyertaan adalah percuma.

Untuk makluman, program ini pada tahun lalu dikenali sebagai Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS, sebelum dijenamakan semula kepada Go-eCommerce Onboarding. Lebih daripada 40,000 PMKS telah didigitalkan melalui kempen ini tahun lalu.

Lebih menarik – inisiatif tersebut pada tahun lalu telah memaparkan peningkatan jualan harian sebanyak 158% setelah menerima manfaat yang ditawarkan.