Artikel

Selangor Disasarkan Beralih Ke Fasa Kedua PPN, Selewatnya September Kelak

Kes baharu negara kekal memaparkan peningkatan dan masih di paras lebihi 9,000 kes positif harian. Aliran ini menunjukkan Selangor selaku penyumbang tertinggi dengan angka kes baharu lebihi 4,000 kes positif.

Melihat momentum itu, Menteri Besar Selangor Datuk Amiruddin Shari minggu lalu menyatakan, negeri memerlukan tempoh tertentu untuk memantau dan menurunkan keluk penularan. Ini kerana jangkaan pihaknya adalah situasi angka itu akan berlarutan dalam tempoh 2 minggu lagi.

Selain itu, persoalan berhubung peralihan negeri ke arah Fasa Kedua di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya dapat dilaksanakan, sekurang-kurangnya pada September kelak.

Menyentuh isu ini – Datuk Amiruddin menjelaskan peralihan fasa itu memerlukan jaminan yang tinggi buat sistem kesihatan negeri. Sekiranya melihat pada kadar vaksinasi – Selangor telah layak untuk peralihan fasa, namun tidak bagi sistem kesihatan dan nilai kebolehjangkitan yang tinggi.

Peningkatan kes mendadak – menjadikan sistem kesihatan negeri perlu diberi ruang untuk meningkatkan semula kapasiti kekuatannya dan memenuhi indikator yang telah ditetapkan PPN.

Oleh itu, orang awam dan majikan diminta untuk sentiasa mengamalkan pematuhan SOP – pemakaian pelitup muka, menghindari tempat sesak, menjaga kebersihan diri dan jarak fizikal. Kerjasama ini akan membantu negara melandaikan kembali keluk peningkatan kes.