Kolaborasi antara pembekal dan sektor e-dagang nyata akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. Tindakan itu kini akan dilaksanakan antara Shopee bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memperkasakan jualan durian.
Langkah kerjasama ini selari dengan penerapan norma baharu – melindungi pengguna dari persekitaran semasa, namun masih mampu membekalkan permintaan mereka secara atas talian.
Malah ia juga turut menambah keyakinan kepada pemain sektor pertanian negara, khususnya pembekal yang terdiri daripada petani, pekebun untuk meluaskan pemasaran mereka ketika pandemik COVID-19.
Shopee pada kenyataan semalam memaklumkan, antara langkah bersama yang dilakukan adalah kempen e-Fiesta Durian bagi tahun kedua.
Menerusi kerjasama ini sekitar 211 penjual durian telah menerima manfaat jualan secara atas talian. Penglibatan para pembekal akan melindungi mereka dari sebarang kegiatan penipuan dan menjamin keselamatan transaksi pembelian, sewaktu urusniaga dilakukan di bawah polisi Shopee.
Untuk makluman, kempen ini akan mula berlangsung mulai esok, 10 Julai sehingga 31 Julai dengan tawaran baucar diskaun sehingga 50%.
Para pengguna boleh menuntut ganjaran yang ditawarkan menerusi segmen eFAMAPLACE pada aplikasi Shopee. Antara tawarannya adalah – bagi perbelanjaan minimum RM60 pula akan menerima potongan RM15 dan perbelanjaan RM100 akan menerima potongan RM30.