Artikel

Lazada, DuitNow QR – Kini Laksana Ciri Pembayaran COD Secara Nirtunai

Peningkatan aliran pembelian atas talian yang semakin tinggi ketika ini, menjadikan pilihan pembayaran juga perlu lebih maju dan pantas buat pengguna. Tindakan itu seiring dengan situasi pandemik COVID-19.

Melihat keperluan itu, platform e-dagang Lazada bersama DuitNow QR kini menawarkan pilihan pembayaran nirtunai (tanpa tunai) kepada pengguna yang menggunakan kaedah cash-on-delivery (COD).

Di mana pengguna tidak lagi perlu membuat pembayaran secara berdepan, sekadar melunaskan pembayaran tersebut dengan mengimbas kod QR pembelian mereka secara digital setelah pesanan diterima.

Menurut Rick Ting, Ketua Pertumbuhan Pengguna Lazada – langkah ini bertujuan untuk memberi keyakinan kepada pengguna baharu, sekiranya masih tidak pasti akan pembayaran secara atas talian. Melalui cara ini, pembayaran COD dapat dilaksanakan secara selamat dan pengguna terlindung dari sebarang kontak rapat.

Bagaimanapun, setakat ini kaedah tersebut hanya tersedia pada perkhidmatan penghantaran LEX. Sempena pelancaran kemudahan ini, pengguna Lazada boleh menikmati diskaun RM5 dengan perbelanjaan minimum RM30 kod promo LAZCOD5 apabila mereka membuat pembayaran pertama melalui DuitNow QR dalam aplikasi MAE oleh Maybank.