Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu para pencarum. Antaranya adalah memberi kelonggaran kepada kemudahan pengeluaran wang tunai melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
Pengenalan kemudahan tersebut bertujuan untuk meringankan bebanan krisis kewangan yang dihadapi pencarum ketika ini. Bagaimanapun tindakan sedemikian tidak akan memberi kesan mahupun tekanan kepada prestasi pendapatan pelaburan entiti.
Menurut pemerhatian Ketua Penyelidikan Kenanga Investment – Koh Huat Soon pada Unjuran Pasaran Suku Ketiga 2021, pulangan pelaburan yang dilakukan KWSP adalah bergantung kepada prestasi pelaksanaan entiti dan langkah kecairan melalui pasaran bon yang dilakukan sejak tahun 2020. Untuk makluman ‘kecairan’ merujuk kepada jualan pelaburan tanpa memberi kesan kepada nilainya bagi tempoh yang singkat
Kekuatan pegangan portfolio yang dimiliki KWSP juga turut memberi kelebihan pada prestasi pendapatan pelaburan mereka. Maka, walaupun berdepan dengan tekanan ekonomi, KWSP disasarkan masih mampu mengatasi kesannya.