Artikel

Rangka Belanjawan 2022 – Dijangka Mantapkan Dasar Perlindungan, Kelangsungan Rakyat

Dalam tempoh 3 bulan lagi, negara akan mulai membentangkan kerangka Belanjawan 2022 kepada rakyat negara pada Oktober 2021. Antara jangkaan yang diperlihatkan pada komponen itu, adalah meningkatkan dasar perlindungan ke atas masyarakat Malaysia.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias ketika sidang maya Tinjauan Separuh Kedua Malaysia Maybank Investment Bank semalam (5 Julai) – dasar perlindungan tersebut merangkumi aspek keselamatan dan jaminan kelangsungan rakyat negara pada tahun 2022.

Tumpuan ini tidak hanya meliputi individu, namun turut melihat pada pertumbuhan ekonomi negara.

Buat masa ini, pihaknya menetapkan paras pertumbuhan ekonomi negara ditahap 4.2% berbanding 5.1% sebelum ini. Ia kerana penambahan sekatan negara telah mendorong kepada penyusutan berlarutan untuk Malaysia.

Malah, pihaknya turut menjangkakan defisit fiskal negara akan berada di paras 6.8% dan inflasi 2.6%.

Melihat situasi ini – sudah pasti negara masih memiliki potensi pada penurunan penarafan kredit. Ini didorong hasil peningkatan hutang kerajaan ketika ini. Bagaimanapun, ketidaktentuan peralihan negara pada pembukaan ekonomi masih tidak diketahui.

Faktor sokongan masih lagi dapat berlaku sekiranya pertumbuhan yang baik di paparkan pada pasaran global. Untuk makluman, negara mengamalkan konsep ekonomi dasar terbuka, peertumbuhan yang optimis pada peringkat global mampu memberi kesan pada ekonomi negara.