Artikel

Pengenalan Model Baharu Kenderaan – Pacu Permintaan Industri Automotif

Momentum pasaran automotif negara kini disasarkan terus meningkat, walaupun menghadapi kekangan disebabkan tempoh sekatan ketika ini. Apa yang menarik, kadar kenaikan itu didorong pengeluaran unit kenderaan baharu.

Ini merangkumi permintaan tinggi pada tempahan Perodua Ativa, Honda City, Proton X50, Toyota Yaris dan beberapa jenama lain.

Pengamatan firma penyelidikan – Kenanga Research melihat kadar aliran itu akan meningkatkan sasaran pengeluaran sekitar 3% lebih tinggi, kepada 545,000 unit bagi jumlah keseluruhan industri (TIV).

Tidak hanya itu, lanjutan pengecualian cukai kenderaan (SST) serta perluasan cukai jualan mengekalkan keyakinan pengguna untuk terus melakukan permintaan. Malah langkah lanjutan ini, turut disokong dengan pengenalan moratorium selama 6 bulan.

Selain permintaan kenderaan baharu – jualan kereta terpakai, khususnya berharga di bawah RM30,000, turut memaparkan lonjakan dari segi permintaan. Jualan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) juga turut meningkat susulan pengecualian cukai jualan.

Bagaimanapun, masih terdapat risiko yang didepani oleh industri automotif negara. Apabila lanjutan kelonggaran cukai dilaksanakan dan penawaran moratorium tersedia – ini bermakna kadar penawaran pinjaman kenderaan juga semakin tinggi dan ketat. Berdasarkan situasi ekonomi, kelulusan pinjaman akan lebih rendah.

Setakat ini, pemerhati industri menyasarkan peningkatan pertumbuhan global mampu memaparkan kadar positif – langkah itu akan membantu KDNK negara mencapai paras 5% hingga 6% untuk tahun ini.