Walaupun Malaysia telah mendepani pandemik COVID-19 sejak setahun yang lalu – namun masih ada majikan yang enggan memahami atau menerapkan konsep ‘Bekerja Dari Rumah’ terhadap skop pekerjaan.
Ketidakprihatinan itu dapat diperlihatkan pada laporan aduan yang diterima aplikasi Working For Workers (WFW) Kementerian Sumber Manusia – sebanyak 4,267 aduan pekerja, setakat 1 Julai 2021.
Antara aduan yang tertinggi diterima adalah 1,878 kes melibatkan majikan tidak membenarkan pekerja untuk bertugas dari rumah (BDR), diikuti aduan masalah pembayaran gaji (1,013 kes) dan potongan upah yang tidak mengikut perundangan (308 kes).
Buat masa ini, tindakan susulan telah dilaksanakan terhadap 3,379 aduan – sementara 164 aduan dalam proses pengesahan, 616 aduan di bahagian pemeriksaan dan 108 aduan masih menanti pengesahan.
Melihat situasi ini, pihak pengurusan dan pengendali syarikat perlu menyesuaikan operasi perniagaan seiring dengan tahap kesihatan negara. Kegagalan majikan mematuhi garis panduan yang ditetapkan, tidak sekadar merugikan permis namun turut meningkatkan lagi risiko pada kesihatan masyarakat negara.