Artikel

Sekatan Pelancongan Antarabangsa Cetus Kerugian Global, Lebih AS$4 Trilion – PBB

Sekatan perjalanan antarabangsa jelas memberi tamparan yang hebat buat sektor pelancongan global. Di mana, data suku pertama 2021 – jelas menunjukkan penurunan 88% perjalanan pelancong antarabangsa telah dicatatkan, kesan ini susulan krisis COVID-19.

Seperti yang umum ketahui, situasi tersebut membawa kepada kesan ketara ke atas ekonomi negara-negara sedang membangun. Ini kerana sekitar 60% sumbangan KDNK negara terlibat, adalah bergantung kepada ketibaan pengunjung antarabangsa.

Berdasarkan tinjauan PBB – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini, kemerosotan itu mampu membawa kepada lebih AS$4 trilion kerugian di paras global.

Malah dapatan bersama UNWTO – Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB dan UNCTAD – Persidangan Perdagangan dan Pembangunan, juga melihat pengaturan agihan vaksin yang perlahan akan meningkatkan lagi tekanan penyusutan pada ekonomi di negara-negara sedang membangun.

Pelbagai pihak telah menzahirkan pandangan mereka berhubung kaedah agihan bekalan vaksin yang tidak sekata ini. Ia memberi kesan jangka masa panjang bagi pertumbuhan ekonomi global. Tanpa sedar ia akan melumpuhkan segmen dagangan tertentu dan memerlukan tempoh yang lama untuk dipulihkan semula.

Melihat situasi ini, meskipun negara-negara maju mengalami kadar vaksinasi yang cepat dan berupaya membuka kembali ruang perjalanan antarabangsa mereka – namun tidak pada fasa global. UNWTO menjangkakan, perjalanan antarabangsa hanya dapat dinikmati menjelang tahun 2023.

Bagaimanapun, fasa pemulihan awal akan mulai kelihatan sekitar separuh kedua tahun 2021.