Artikel

Ericsson Dipilih Bangunkan Ekosistem 5G Malaysia, Bernilai RM11 Bilion – Sasar Liputan 80% Menjelang 2024

Pengedaran spektrum teknologi 5G Malaysia sejak awal tahun ini, sememangnya di bawah kawalan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) – pemilikan Kementerian Kewangan (MOF) secara berpusat.

Ternyata kini, Digital Nasional Bhd (DNB) memilih Ericsson Malaysia selaku entiti yang bertanggungjawab membangunkan ekosistem 5G di Malaysia.

Tender pembangunan infrastruktur 5G bernilai RM11 bilion akan merangkumi pelaksanaan reka bentuk, rangkaian akses radion (RAN) sewaan menara serta pajakan gentian.

Malah menerusi kerjasama ini akan membantu mempercepatkan peralihan negara dalam teknologi, meliputi pembangunan di Sabah dan Sarawak. Setakat ini, penerapan awal rangkaian akan diperkenalkan di beberapa kawasan seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya – menjelang akir 2021.

Sementara, kawasan bandar dan daerah utama seperti di Selangor, Pulau Pinang, johor, Sabah dan Sarawak dijangka dapat diperluaskan pada tahun hadapan, 2022.

Adanya kerjasama semua pihak -fasa pembangunan ini disasarkan beri liputan 80% kepada rakyat negara menjelang tahun 2024.