Artikel

Dasar 4IR Malaysia – Sasar Penekanan Peluang Pekerjaan, Peningkatan Produktiviti Menjelang 2030

Antara tumpuan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR) pada hari ini (1 Julai) adalah memberi penekanan kepada pembangunan peluang pekerjaan negara.

Ia merangkumi peningkatan pada ekosistem pendapatan, kualiti hidup serta modal insan Malaysia. Menerusi penekanan tersebut – ia akan memberi kesan kepada ekosistem pasaran negara, di mana memerlukan penambahbaikan dari aspek penawaran pendidikan di peringkat tinggi.

Langkah itu berupaya mengurangkan kadar pengangguran yang sedia ada – berikutan tidak memadai dengan permintaan semasa.

Malah pada sidang maya turut menggariskan, jangkaan peningkatan produktiviti turut disasarkan – sehingga 30% pada semua sektor menjelang 2030.

Untuk mencapai sasaran sedemikian, inisiatif melengkapkan rakyat bersama pengetahuan serta set kemahiran berkaitan 4IR perlu diperkasakan. Keperluan ini penting, sejajar dengan peralihan teknologi ketika ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Mustapa Mohamed – kerangka pelan 4IR ini tidak hanya menjadi panduan kepada sektor swasta, bahkan kepada sektor kementerian untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur digital negara.

Turut sama ke arah agenda itu – MOSTI kini sedang membangunkan dasar serta beberapa pelan berhubung hala tuju teknologi negara berkaitan penerapan seperti robotik, kecerdasan buatan serta teknologi elektrikal.