Artikel

Selangor Alami Pengurangan Tertinggi KDNK Nasional – Sebanyak RM18.3 Bilion

Kehadiran pandemik COVID-19 nyata memberi kesan terhadap struktur ekonomi negara dari semasa ke semasa. Ini termasuklah impaknya pada prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri.

Data semasa memperlihatkan Selangor tampil sebagai negeri yang tertinggi mengalami pengurangan pertumbuhan sebanyak RM18.3 bilion. Ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM17.5 bilion), Sarawak (RM9.6 bilion) dan Sabah (RM8.1 bilion).

Untuk makluman, keempat-empat negeri tersebut telah menyumbang kepada penyusutan 66.7% daripada nilai penyusutan nasional, iaitu rekod keseluruhannya adalah RM80.4 bilion.

Namun, meskipun Selangor mengalami penurunan tinggi, ia masih kekal sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara diikuti Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah – sebanyak 72.1% kepada KDNK Malaysia.

Seterusnya, dapatan juga dapati terdapat lapan negeri yang merekodkan pertumbuhan KDNK lebih baik daripada paras nasional (-5.6%). W.P. Labuan menguncup secara marginal kepada negatif 0.5% diikuti Kelantan (-1.1%) Kedah (-1.7%), Pulau Pinang (-2.1%), Perak (-2.3%), Negeri Sembilan (-3.6%), Johor (-4.6%) dan Selangor (-5.3 %).

Sementara itu, prestasi mengikut sektor pula memaparkan Perkhidmatan menyumbangkan sebanyak 57.7% kepada ekonomi Malaysia, telah merekodkan penurunan sebanyak -5.5% (2019: 6.2%). Bagi sektor Pembuatan yang menyumbang 22.9% kepada ekonomi, mencatatkan penguncupan 2.6% (2019: 3.8%). Manakala, sektor Pertanian dengan sumbangan sebanyak 7.4% kepada KDNK nasional, merekodkan penurunan sebanyak -2.2% (2019: 2.0%).