Artikel

Axiata Digital, CGC – Atur Usahasama Bagi Jaminan Bank Digital Yang Berpotensi

Persaingan negara dalam penyertaan bank digital kini diperlihat semakin rancak, apabila Axiata Digital Capital (Aspirasi) mengumumkan kerjasama mereka bersama Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi pengenalan jaminan bank digital yang berpotensi.

Usahasama anak syarikat di bawah cabang kewangan digital Boost ini, secara langsung menjadikan mereka selaku pemohon lesen perbankan digital pertama yang tampil dengan inisiatif sedemikian.

Menerusi jalinan ini terdapat 2 penekanan yang diberi tumpuan, pertama komitmen berhubung Jaminan Portfolio bagi pembiayaan meliputi PKS dan kedua untuk penyediaan pembiayaan buat PKS Mikro yang berkelayakan tanpa jaminan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital dan Pengerusi Boost Holdings, Mohd Khairil Abdullah – menerusi kolaborasi ini ia akan memperkukuhkan kemampuan entiti dalam memenuhi keperluan kewangan bagi segmen yang tidak atau kurang mendapat perhatian perkhidmatan kewangan.

Kombinasi kepakaran fintech dan pengalaman kecerdasan buatan (AI) dari Boost Holdings, berserta dengan kredibiliti CGC akan mempercepatkan pertumbuhan ekosistem untuk landskap PKS Mikro yang bertenaga dan kompetitif.