Artikel

Hoolah – Khidmat BNPL Kini Papar Peningkatan, Alami Lonjakan 600% Pesanan Sepanjang 12 Bulan

Penawaran Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) kini menjadi pilihan segelintir pengguna, untuk memastikan aliran tunai mereka kekal terjamin ketika pandemik COVID-19. Melihat pada kaedah ansurannya, sudah pasti lebih ramai pihak memilih menggunakan perkhidmatan ini.

Dan perkara itu dibuktikan pada data Hoolah – perkhidmatan BNPL milik Singapura, yang mencatatkan lonjakan pesanan 600% sejak Mei 2020 sehingga Mei 2021.

Untuk makluman, penyertaan Hoolah kini tidak asing lagi buat penyedia platform e-dagang bagi Asia Pasifik. Lebih menarik penyediaan Hoolah turut tersedia pada kedai fizikal dan atas talian. Menerusi perkhidmatannya, para pengguna diberi kuasa untuk menguruskan perbelanjaan bulanan mereka dan memaksimumkan aliran tunai peribadi dengan membayar hanya satu pertiga dari harga keseluruhan secara ansuran.

Meskipun lonjakan ketara ini menimbulkan kebimbangan dari aspek pengaturan hutang. Namun menurut Pengurus Besar Jason Wong, rata-rata pengguna mulai beralih menggunakan pembayaran kad debit berbanding kad kredit. Peningkatan transaksi kad debit 75% telah dicatatkan pada Mac lalu berbanding Januari sekitar 55% penggunaannya.

Malah Hoolah juga turut memberi pendedahan kepada pengguna berhubung penggunaan BNPL yang lebih teratur. Antaranya mengehadkan penggunaan BNPL, sekiranya pengguna masih tidak melunaskan ansuran pembelian mereka.

Langkah ini akan mendidik pengguna, untuk mengurus perbelanjaan ansuran dengan lebih baik tanpa meningkatkan had hutang mereka.