Artikel

Astro Meneruskan Sasaran Menjadi Hab Kandungan Penstriman Melalui Integrasi Netflix

Astro, salah satu penyedia kandungan berbayar popular di Malaysia, hari ini secara rasminya mengesahkan akan mengintegrasikan sokongan mengakses kandungan Netflix melalui Astro. Dengan langkah ini, pengguna Astro boleh menikmati kandungan daripada Netflix terus menggunakan Astro tanpa memerlukan sebarang perkakasan tambahan.

Malah, pengguna juga boleh menguruskan bil mereka dibawah satu, tanpa risau berkenaan pengurusan bil pelbagai perkhidmatan penstriman. Sebelum ini, Astro sedia menambah sokongan HBO dan juga Disney dibawah penawaran mereka, selain turut hadir dengan penawaran tersendiri dinamakan Sooka.

Dengan peralihan orang ramai ke arah penstriman, ia membawa kepada cabaran dan pada masa yang sama peluang baharu kepada Astro. Pelbagai perkhidmatan penstriman hadir dengan harga langganan bulanan tersendiri – dan masing-masing memfokuskan kepada kandungan eksklusif dalam menarik pelanggan untuk menggunakannya. Astro dilihat berhasrat dalam memudahkan proses berkenaan untuk pengguna, dan menjadi satu hab untuk pelbagai perkhidmatan penstriman video – dan pada masa yang sama mengurangkan kos untuk pelanggan sedia ada mereka.

Bagi anda yang berminat, boleh mendaftar minat berkenaan pelan Astro x Netflix ini di laman rasmi Astro hari ini.