Pertumbuhan Fintech iaitu institusi kewangan digital di peringkat global kini menunjukkan peningkatan yang ketara. Meskipun telah wujud sejak 10 tahun yang lalu dan pernah diklasifikasikan sebagai kurang relevan – kini ia menjadi antara pertaruhan utama pada pembangunan ekonomi dunia.
Berdasarkan laporan Global Fintech Index 2021, dengan penyertaan lebih 80 buah negara dan lebih 11,000 syarikat fintech – Malaysia menduduki tangga ke 46 pada senarai tersebut, didahului negara jiran Singapura (4) dan Indonesia (43).
Penyelarasan kedudukan ini diukur berpandukan kepada 3 aspek iaitu – jumlah pemilikan entiti fintech, kualiti penawaran khidmat dan ekosistem kelangsungan perniagaan. Melihat pada kedudukan negara, sebelum ini ditangga ke 36 namun telah jatuh 10 anak tangga.
Menerusi laporan ini juga mendapati penglibatan kewangan digital telah membantu sektor ekonomi dunia dalam proses transaksi yang lebih baik. Setakat ini, jumlah fintech unicorn meningkat menurut CB Insight. Nilai gabungan tersebut juga turut meningkat dua kali ganda kepada AS$440 bilion.