Artikel

AEON Perluas Ekosistem Runcit – Bakal Lancar Platform E-Dagang Menjelang Ogos Ini

Pemintaan pembelian secara atas talian kini sudah menjadi kebiasaan dan kaedah yang lebih selesa dalam kalangan masyarakat negara. Memahami tuntutan itu, AEON kini telah memperuntukkan sejumlah RM251 juta bagi perbelanjaan modal (capex) untuk penekanan pembangunan digitalisasi model runcit baharu – melibatkan integrasi pembelian fizikal dan atas talian.

Lebih menarik, seiring dengan penekanan tersebut AEON turut akan melancarkan platform e-dagang mereka pada awal Ogos kelak iaitu My Aeon To Go.

Pembabitan entiti pada e-dagang nyata akan merancakkan lagi arena jualan atas talian negara. Pihaknya menjangkakan platform tersebut mampu menyumbang sekitar 2% kepada pendapatan dan dijangka alami peningkatan kepada 15% dalam tempoh 5 tahun.

Melalui penekanan itu, 40% dari perbelanjaan tersebut akan memberi tumpuan pada pembangunan teknologi dan sistem maklumat. Sebahagian yang lain pula akan difokuskan kepada pengubahsuaian, penyelenggaraan bahagian gudang mereka.

Pada masa yang sama, AEON juga memaklumkan akan perluaskan 13 cawangan khusus pada tahun ini, sementara 11 cawangannya di pusat membeli-belah akan diubahsuai.