Artikel

Peningkatan 85% Kaedah Nirtunai Di Asia Tenggara – Membawa Erti Kemajuan Digital?

Tiada siapa menyangka pemerkasaan pembayaran nirtunai (tanpa tunai) dapat dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.

Ini menjadikan rata-rata peniagaan mulai melibatkan penyertaan mereka pada penawaran kaedah pembayaran tersebut. Apa yang menarik penglibatan warga penduduk Asia Tenggara menunjukkan peningkatan yang ketara pada ciri nirtunai.

Tinjauan VISA – Pemerkasaan Pengalaman Digital 2021 jelas menunjukkan negara di Asia Tenggara mencatat nilai penggunaan nirtunai di paras 85%. Sementara itu, data secara berasingan memaparkan Singapura 98%, Malaysia 96% dan Indonesia 93%.

Tindakan perluasan kaedah pembayaran ini meliputi pelbagai aspek penyertaan pada landskap ekonomi Asia Tenggara. Ia meliputi penggunaan kad debit, kad kredit, pembayaran menerusi telefon pintar, imbasan kod QR, serta dompet digital.

Bagi Malaysia pemerkasaan ke arah pembayaran digital ini disokong oleh penyertaan institusi perbankan dan infrastruktur kewangan negara. Sebagai contoh pengenalan aplikasi dompet digital dan penyediaan kod QR. Malah pengenaan caj yuran pemprosesan cek juga telah mendorong kepada peralihan pengguna ke arah nirtunai.

Malaysia Dan Imbasan Kod QR

Di bawah penerapan nirtunai – imbasan kod QR ternyata menunjukkan negara Malaysia mendahului pemerkasaan tersebut dengan paras penggunaan 50% rakyat negara.

Antara sebab Malaysia lebih gemar akan pembayaran secara imbasan kod QR adalah – individu tidak perlu lagi membawa sebarang wang tunai (65%) dan tidak memerlukan penggunaan kad (57%). Malah tindakan kaedah pembayaran ini juga bertujuan melindungi diri pengguna dari sebarang sentuhan (55%).

Peningkatan pertumbuhan kod QR ini dapat diperlihat sejak tahun 2019 dan 2020 lagi – yang memaparkan paras 164% pada penggunaan dalam kalangan pemain perniagaan di Malaysia. Berdasarkan Bank Negara Malaysia (BNM) jumlah transaksi melalui perbankan atas talian dan dompet digital turut menunjukkan peningkatan yang sama. Ini menjadikan tahun lalu, setiap individu di Malaysia melakukan purata 170 transaksi nirtunai, lebih tinggi berbanding 2019.

Peningkatan Nirtunai – Seiring Dengan Kemajuan Teknologi?

Melihat pada peningkatan penggunaan nirtunai di Asia Tenggara – sudah pasti ramai yang akan mempersoalkan, adakah capaian teknologi dari aspek peranti dan internet di negara-negara ini turut menuju peningkatan?

Jawapannya, masih di paras 42% untuk penggunaan internet dan peranti pula 85%. Rekod ini dapat diperlihatkan pada Laporan Global Data Headlines Januari 2021.

Meskipun penggunaan peranti pintar memaparkan peratusan yang tinggi, namun segala capaian transaksi masih memerlukan rangkaian internet – untuk menyokong kekerapan penggunaan kaedah nirtunai dalam kalangan warga Asia Tenggara. Jadi ia wajar dipertingkatkan.

Untuk pemilikan peranti pintar, internet dan kaedah nirtunai di Malaysia, ia berada di paras sederhana. Walaupun memaparkan kadar penggunaan yang tinggi – di mana 99.2% memiliki telefon pintar, 75.8% memiliki akses komputer dan 32.3% pula memiliki akses tablet. Namun ia tidak membawa erti kepada pendedahan warga Malaysia adalah menyeluruh.

Masih terdapat kekangan penglibatan dalam kalangan kelompok pendapatan rendah, serta kawasan luar bandar.

Penulis melihat penglibatan institusi perbankan dan platform e-dagang telah menjadikan angka kaedah nirtunai negara lebih rancak. Misalnya penyertaan platform Shopee, Lazada dan Maybank2U telah menjadi antara ruangan utama transaksi dilakukan.

China Tidak Menganggap Kaedah Nirtunai Sekadar Medium Pembayaran

Seperti kita ketahui, negara China adalah negara paling terawal yang mengamalkan penggunaan pembayaran digital hampir secara menyeluruh untuk semua segmen ekonomi mereka. Ini berikutan peningkatan dominasi platform kewangan antara Tencent dan Alibaba.

Perubahan evolusi digital berasaskan internet juga telah membantu China meningkatkan kadar kebergantungan kaedah nirtunai ini pada seluruh sektor ekonomi mereka.

Berdasarkan situasi ini, China melihat kaedah nirtunai tidak hanya sekadar kaedah pembayaran sahaja. Ia mampu membawa kepada revolusi yang lebih besar kepada kemajuan sektor ekonomi digital dunia.

Tindakan mereka sekaligus menyebabkan tidak hanya rakyat China, bahkan rakyat dunia perlu mengikuti langkah peralihan yang sama.

Walaupun China tidak diklasifikasikan sebagai negara maju – namun pemahaman dan kepakaran mereka dalam membangunkan kaedah nirtunai ini, secara tidak langsung menjadikan China antara negara pencetus teknologi dalam segmen ekonomi. Ini meliputi usaha pembangunan mereka pada institusi kewangan dan internet.

Perancangan selanjutnya, China kini diperkatakan dalam usaha untuk menguji penggunaan mata wang digital mereka yang dikenali sebagai digital China Yuan (e-CNY), menjelang tahun 2022. Sasaran itu, sudah pasti akan menyebabkan pertimbangan negara lain dalam menawarkan penggunaan wang digital.

Akan tetapi, setiap peralihan drastik akan membawa kepada risiko. Risiko yang dihadapi China ketika ini adalah penggunaan wang tunai, sudah tidak memiliki nilainya. Ia secara tidak langsung memberi kesukaran kepada sebahagian sektor. Malah perkara itu, sehingga kini masih diperdebatkan antara pengendali kewangan dan bank negara China.


Penulis berpendapat apabila angka penerapan nirtunai memaparkan peningkatan ketara, seharusnya setiap pentadbiran negara mengambil peluang ini. Ia membawa erti negara Asia Tenggara berpotensi memperluaskan sektor ekonomi digital di peringkat yang lebih tinggi. Ini termasuklah negara Malaysia.

Bermakna, perluasan dari aspek keperluan internet dan kemudahan teknologi di kawasan luar bandar juga wajar dipertimbangkan. Bahkan peruntukan peratusan R&D juga perlu dipertingkatkan. Kita memiliki data potensi sedemikian, tetapi tidak pada peruntukan untuk pembangunan kemahiran di masa hadapan.