Kala dunia lebih ke arah kemajuan, ini bermakna lebih tinggi risikonya pada persekitaran orang awam. Memahami tuntutan itu, Grab pada Laporan ESG – Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Korporat telah menggariskan beberapa komitmen mereka dalam depani cabaran itu.
Grab bersama Hyundai Motor Group kini akan melancarkan program rintis Kenderaan Elektrik (EV) baharu di Singapura, Vietnam dan Indonesia, yang akan menumpukan pemilikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses.
Program rintis tersebut bakal menguji model perniagaan EV baru seperti urusan sewaan bateri dan kereta sebagai satu perkhidmatan, dan pilihan pembiayaan EV yang disesuaikan khusus untuk rakan pemandu dan penghantaran Grab.
Pelan ini diperlihatkan mampu membantu pemerkasaan pada aspek sosioekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan pengukuhan prestasi kewangan.
Lebih menarik, usaha ini selaras dengan sasaran Grab dalam mengurangkan jejak karbon mereka menerusi ciri pengimbangan karbon – carbon offset yang dapat digunakan pada aplikasi kelak.
Ciri ini akan dilancarkan di Malaysia, Indonesia dan Thailand mulai Julai kelak, sebelum ia dapat diterapkan pada seluruh perkhidmatan di Asia Tenggara. Ciri ini membolehkan para pengguna membeli pengimbangan karbon pada harga kurang dari AS$0.10 untuk setiap perjalanan. Amaun tersebut akan digunakan untuk membiayai projek-projek pemuliharaan dan penanaman semula hutan oleh pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali Hutan GrabForGood.
Untuk makluman, Hutan GrabForGood adalah kawasan yang dikhususkan untuk inisiatif penanaman pokok Grab di bawah program pengimbangan karbon syarikat itu. Di Malaysia, pokok-pokok ini akan ditanam oleh Pusat Pemuliharaan & Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC), yang ditubuhkan pada 2012 bagi memulihara hutan hujan tropika dan menangani isu kadar kemerosotan biodiversiti yang kritikal di Malaysia.
Kawasan perladangan pertubuhan merangkumi ladang di Gerik, Perak dan Sandakan, Sabah.