Kehadiran pandemik COVID-19 nyata memberi kesan yang mendalam kepada pengendali kedai makanan dan minuman. Entiti sedemikian tidak berupaya mencapai pertumbuhan sedia kala disebabkan situasi semasa.
Malah, pelaksanaan sekatan pada beberapa buah negara turut meningkatkan lagi risiko pertumbuhan restoran.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s AS – Chris Kempczinski pada laporan CNBC melihat kesan itu tidak terlalu berisiko bagi rangkaian F&B yang memiliki khidmat pandu-lalu dan aplikasi pesanan makanan.
Kenyataan itu turut disokong pada tinjauan Bluedot – State of What Feeds Us 2020 memaparkan 74% orang awam cenderung menikmati khidmat pandu lalu seperti biasa dan peratusan menjadi lebih tinggi berbanding kewujudan awal pandemik COVID-19.
Ini kerana sepanjang tahun 2020, pasaran jualan pesanan makanan menerusi dua aspek itu pada peringkat global telah meningkat. Ia membantu rangkaian seperti McDonald’s mengatasi isu permintaan dan pertumbuhan.
Berdasarkan suku ketiga 2020, pasaran AS telah memaparkan sentimen positif dengan rekod pertumbuhan 13.6%.
Secara tidak langsung memaparkan pengguna mulai selesa akan penyediaan khidmat pandu-lalu untuk mengelakkan dari kesesakan tempat awam dan sebarang sentuhan.
Sama juga seperti rangkaian global lain – Taco Bell, Burger King kini sedang memperlihatkan penempatan lokasi restoran baharu yang memberi tumpuan kepada bahagian pemesanan atau pandu lalu, dan merancang mengurangkan penyediaan tempat makan di rangkaian mereka.
Malah Starbucks juga turut menyatakan perancangan mereka dalam tempoh 12 hingga 18 bulan berhubung penyediaan khidmat pandu-lalu kepada pengguna mereka.
Situasi ini secara jelas memberikan persaingan kepada semua rangkaian untuk mengadaptasi pilihan para pengguna. Namun masih terdapat risiko berhubung perancangan khidmat pandu-lalu ini. Setakat ini, pemain rangkaian F&B melihat segmen pandu-lalu ini dijangka terus kekal stabil 2025.