Artikel

Lebih Ramai Isi Rumah Malaysia Kini Terdedah Kepada Kemiskinan, Peningkatan 8.4% Dicatatkan

Apabila ekonomi dunia mengalami ketidaktentuan, maka ini akan mencetus kepada peningkatan kadar kemiskinan sesebuah negara. Khusunya kepada negara sedang membangun.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) jelas memaparkan, kesan pandemik telah mendedahkan lebih ramai isi rumah di Malaysia kepada kemiskinan. Tahun 2020, mencatatkan peningkatan kepada 8.4%, berbanding 2019 sekitar 5.6%.

Datuk Seri Mustapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) pada sidang maya SDG – Matlamat Pembangunan Mampan hari ini (17 Jun) menyatakan situasiĀ  berkenaan memberi kesan yang mendalam kepada kumpulan B40 dan rentan.

Peningkatan kadar kemiskinan itu meliputi pelbagai kategori iaitu dari segi pendapatan, tahap kesihatan, pendidikan dan pemilikan kemudahan asas.

Maka, bagi mengatasi isu tersebut – pengenalan Poverty Circle akan diwujudkan. Ia merangkumi penglibatan wakil kerajaan, swasta, pertubuhan serta tokoh akademik.

Langkah optimis ini untuk mengembalikan semula penurunan kadar kemiskinan negara. Sebelum ini kadar kemiskinan mutlak pada tahun 2019, telah dicapai sekitar 405,441 isi rumah berbanding tahun 2016 iaitu 525,743 isi rumah.